Dalam masyarakat yang semakin obses
dengan kesihatan, adalah mustahil untuk melepaskan diri daripada
memperkatakan tentang kisah-kisah pahit dan manis berkaitan kesihatan.
Daripada pandemik kepada simptom-simptom penyakit yang menggerunkan,
berita-berita mengenai penyakit selalunya diiringi dengan elemen takut
dan bimbang.
Hakikatnya penyakit tidak mengenal usia, bangsa, agama mahu pun
jantina. Apa yang boleh dilakukan adalah mencegah dan kemudiannya jika
tidak berkesan merawat. Bagi lelaki, kesihatan mungkin bukan topik yang
digemari. Namun tidak bermakna soal kesihatan dipandang ringan.
Mungkin ada perkara-perkara kecil yang mesti
diberi perhatian oleh kaum lelaki untuk menentukan sama anda boleh
dikategorikan sebagai lelaki sihat.
Berikut lima tanda atau
petunjuk taraf kesihatan lelaki.
1. Kuku yang kuat dan berwarna merah jambu.
Penjagaan kuku mungkin tidak tersenarai sebagai perkara penting dalam
diari kesihatan kaum lelaki. Tetapi percayalah kuku boleh mendedahkan
banyak mengenai kesihatan seseorang. Secara umumnya, kuku individu yang
sihat berwarna merah jambu, kukuh tetapi lembut. Sedikit perubahan
pada kuku seperti tompok putih dan permukaan yang sedikit tidak rata
adalah perkara biasa, namun sebarang perubahan besar mesti diberi
perhatian.
Kuku yang tebal dan berwarna kekuningan mungkin isyarat bagi penyakit
berkaitan pernafasan seperti bronkitis yang kronik. Kesan lekuk
melintangi kuku yang dikenali sebagai garisan Beau pula tidak mustahil
membawa maksud individu berkenaan mengidap diabetes. Kuku yang berbentuk
seperti sudu yang melengkung keluar mungkin menunjukkan masalah
kekurangan zat besi. Biar pun perubahan pada kuku bukan isyarat atau
petunjuk pertama kepada sesuatu penyakit, tetapi adalah lebih baik rujuk
masalah tersebut kepada doktor anda.
2. Warna air kencing
Pernahkah
anda terfikir untuk menjalani ujian air kencing untuk melihat sama ada
anda sihat atau sebaliknya? Jika tidak, mungkin sudah tiba masanya
untuk anda berbuat demikian kerana ujian air kencing boleh mendedahkan
petunjuk-petunjuk penting tentang kesihatan anda. Air kencing
sepatutnya berwarna keperangan untuk menunjukkan seseorang itu sihat.
Bagaimanapun warna perang atau kuning pada air kencing boleh berbeza
bergantung kepada jumlah air yang diminum. Jika anda minum air yang
banyak maka kebiasaannya air kencing selalu kelihatan jernih dan secara
perubatan ia menunjukkan anda sihat.
Bagaimanapun jika anda mengalami
dehidrasi, air kencing anda akan berwarna perang gelap. Selain faktor
warna, sentiasa berwaspada jika terdapat sebarang perubahan besar. Bau
kurang menyenangkan, tompokan darah atau warna-warna lain yang tidak
berkaitan dengan makanan, ubat atau suplemen yang diambil mesti
dipandang berat.
3. Pancutan air mani
Lelaki pertengahan umur yang sihat sepatutnya mempunyai keupayaan
untuk memancutkan antara 2 dan 5 ml air mani. Semakin berusia seseorang
lelaki itu semakin kurang air mani yang dipancutkan. Justeru 2 ml air
mani adalah petunjuk hypospermia – keadaan yang boleh memberi kesan
kepada kesuburan seseorang lelaki. (Pertubuhan Kesihatan Sedunia
menyokong kadar 2 ml). Selain daripada jumlah, warna serta konsistensi
air mani juga menjadi petunjuk kepada kesihatan lelaki. Lelaki yang
sihat sepatutnya mempunyai air mani yang pekat, berwarna putih atau
sedikit kelabu. Air mani yang bercampur dengan darah mungkin ada kaitan
dengan masalah kesihatan.
4. Kadar degupan jantung semasa berehat 70 bpm.
Kadar degupan jantung semasa berehat (RHR) atau jumlah degupan
jantung seminit semasa berehat adalah indikator yang bagus untuk
menentukan paras kecergasan anda. Walaupun RHR berbeza mengikut usia,
bagi lelaki yang sihat jumlah RHR antara 70 dan 75 degupan seminit
(bpm) adalah sasaran yang munasabah. Malah, RHR antara 60 and 100 bpm
secara umumnya dianggap normal bagi lelaki dewasa. Kadar degupan
jantung di luar catatan tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan
yang serius dan boleh menjadi petunjuk kepada beberapa masalah
kesihatan anda. Untuk mengukur denyut nadi, letakkan dua jari pada
pergelangan tangan. Apabila merasa denyutan nadi, lihat jam dan kira
denyutan selama 15 saat. Darab jumlah tersebut dengan empat untuk
mendapat kadar denyutan anda seminit.
5. Kulit anjal
Ukuran
keanjalan kulit biasa digunakan untuk menentukan paras dehidrasi.
Cirit-birit atau muntah-muntah menyebabkan seseorang kehilangan cecair
dalam badan. Kulit yang sihat kekal anjal dan akan kembali normal
apabila masalah tersebut pulih. Untuk menguji keanjalan kulit anda,
cubit kulit di belakang tangan anda. Kulit yang kering akan kekal
terangkat dan secara perlahan kembali kepada kedudukan asal. Kulit yang
sihat pula akan kembali normal dalam masa yang singkat.
Adakah anda lelaki yang sihat?
Semakin
hari kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat mengenai penyakit, tetapi
jarang sekali kita disogokkan dengan makna sebenar menjadi sihat. Biar
pun lima signal itu tidak lengkap namun memberi perhatian kepada
petunjuk-petunjuk pada diri sendiri membantu anda mengenal pasti masalah
yang mungkin anda hadapi.