Elak Beli 'Ubat Kuat' Tanpa Rujukan Pakar Perubatan


PDE5 Inhibitor ialah kumpulan ubat oral yang membantu lelaki yang mengalami masalah disfungsi erektil (mati pucuk) untuk mencapai ereksi. Ia menghalang enzim Phospho Diaterase Type 5 memusnahkan kimia biologik dikenali Cyclic GMP.

Cyclic GMP terhasil dalam otot zakar akibat tindak balas Oxide Nitrik (NO) yang dihasilkan oleh urat saraf yang mengawal zakar ketika lelaki itu terangsang.

Pada masa ini, ubat dalam kumpulan PDE5 Inhibitor ialah satu-satunya bahan kimia yang berpotensi untuk lelaki yang mengalami masalah disfungsi erektil.

Bagaimanapun, ubat ini mampu memberi kesan sampingan yang boleh memudaratkan jika lelaki yang mengamalkannya menghidap tekanan darah tinggi yang sukar dikawal, penyakit jantung yang memerlukan makan ubat mengandungi 'nitrate' dan kencing manis kronik.

Sehubungan itu, penting untuk mana-mana lelaki yang menghidap masalah pencapaian ereksi kronik berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kerana hanya seorang doktor bertauliah dapat memberi rawatan sesuai untuknya.

Ubat dalam senarai PDE5 Inhibitor adalah Sildenafil (Viagra), Tadalafil (Cialis) dan Vardenafil (Levitra) yang mana ubat Sildenafil diperkenalkan lebih awal, sekali gus pengalaman perubatan dengan ubat ini lebih meluas.

Semua ubat yang dijelaskan itu mempunyai kesan sampingan sama. Sebahagian kesan sampingan yang dianggap menyusahkan pengamal berkenaan ialah pening kepala (berat kepala), muka kemerahan dan dahi dan telinga rasa kebas.

Selain itu, pengamal ubat itu akan berasa hidung tersumbat, pernafasan terganggu, jantung berdebar, mata berpusing, sakit otot terutama belakang, gastrik, ruam (rashes), radang pundi kencing, ereksi yang masih kekal selepas bersetubuh (priapisme) dan pengeluaran air mazi yang banyak daripada zakar akibat pepundi dalam salur kencing terangsang.

Pada masa sama, segelintir pengguna pil mengadu mengenai kesan sampingan ringan yang dialami. Jadi, cuba anda bayangkan jika ubat ini digunakan tanpa nasihat dan pemeriksaan doktor?

Sehubungan itu, saya nasihatkan janganlah terlalu teruja untuk membeli 'ubat kuat' tanpa mendapat rujukan pakar perubatan yang sah. Perlu diingatkan, kini banyak ubat tiruan dan juga ubat herba palsu mengandungi 'Viagra' dijual di pasaran gelap.

Ada juga ubat PDE5 Inhibitor yang diimport dari India dan China secara gelap yang mengandungi tahap ubat yang tinggi seperti 500 miligram (mg) yang sangat berbahaya kerana dos tertinggi yang boleh diambil untuk Viagra ialah 100mg.

Jangan bergadai nyawa hanya kerana malu hendak berjumpa doktor dan mengambil jalan mudah dengan membeli ubat daripada pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan.

Sekali lagi saya ingin tegaskan, masalah disfungsi erektil adalah satu penyakit yang perlu mendapat pemeriksaan dan rawatan menyeluruh dan bukan sekadar mencuba pelbagai jenis ubat tanpa kita ketahui latar belakang pengeluarnya.

Nasihat saya, biarlah kita mengeluarkan 'sedikit wang' untuk berjumpa doktor atau pakar untuk rawatan masalah gangguan ereksi kerana hasilnya lebih selamat, bukan untuk jangka masa pendek saja seperti ubat tiruan.

http://sakit-tuan.blogspot.com/2012/08/kesan-ubat-kuat.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...