Isa (kanan) mendakwa menjual ubat-ubatan untuk menambah tenaga batin berasaskan akar kayu. Pix: Sinar HarianKUANTAN: Sebut sahaja ‘ubat kuat’, siapa dulu tersenyum simpul sama ada golongan lelaki mahupun wanita?
Pastinya banyak lelaki lebih tersenyum
simpul kerana mereka boleh sahaja mendapatkan produk itu kerana ia
semakin mudah didapati.
Bilangan dan jenisnya semakin bertambah
hari demi hari menjadikan perniagaan itu boleh membawa keuntungan
berlipat kali ganda, tambahan pula ia sudah mula dijual di pasaran
terbuka.
Walaupun sudah beberapa kali negara dikejutkan dengan
insiden buruk membabitkan penggunaan ubat atau produk yang boleh
merangsang nafsu seks, tetapi masih ia tetap tidak menyedarkan banyak
pihak.
Sinar Harian berpeluang meninjau ke kawasan menjadi
lokasi utama untuk mereka yang memerlukan ubat atau makanan tambahan
bagi meningkatkan tenaga batin.
Seorang peniaga yang hanya
ingin dikenali sebagai Isa, 52, berkata, dia sudah lima tahun
menjalankan perniagaan sepenuh masa menjual produk dan jamu untuk
meningkatkan keupayaan tenaga batin.
Dia menganggap setiap lelaki perlu menitikberatkan soal tersebut kerana ia merupakan kunci kebahagiaan.
“Kebanyakan mereka datang untuk mendapatkan pertolongan tanpa mengira
usia. Mereka bukan sahaja terdiri daripada golongan dewasa dan warga
emas, malah membabitkan remaja serta golongan muda.
“Kebanyakan
mereka sememangnya mempunyai masalah tenaga batin berikutan gemar
melakukan oral seks. Muda-muda lagi sudah lemah kerana terlalu kerap
melakukannya. Sekiranya tidak berubat secara tradisional, perkara itu
pasti memberi kesan buruk pada kehidupan mereka,” katanya.
Dia berkata, kebanyakan golongan dewasa pula mengalami masalah mati pucuk berpunca daripada pengambilan makanan.
“Orang sekarang makan macam-macam. Benda yang boleh melemahkan pun
turut dimakan, tetapi tidak pula mahu makan ubat atau jamu untuk
meningkatkan keupayaan batin.
“Jika hendak dibandingkan dengan
orang zaman dahulu, ubat-ubatan, jamu dan akar kayu memang tidak boleh
dipisahkan. Oleh itu, jumlah kes penceraian amat berbeza berbanding
zaman dahulu,” katanya.
Isa berkata, ubat-ubatan tradisional
ditambah dengan senaman dan urutan khas untuk meningkatkan tenaga batin
adalah warisan keluarganya yang dipelajari semenjak berusia 14 tahun
lagi.
“Saya berniat membantu mereka yang sangat memerlukan
untuk bersama orang tersayang. Jika mereka bahagia, saya tumpang
gembira. Pembuatan ubat-ubatan ini dilakukan sendiri. Semua akar kayu
yang mempunyai 1,001 khasiat ini diperoleh di dalam hutan tebal di Gua
Musang,” katanya.
Menurutnya, mereka tidak perlu khuatir untuk
memperoleh ubat-ubatan tersebut memandangkan semua produk itu akan
digunakannya terlebih dahulu.
“Sebelum menjual di pasaran, saya sendiri akan makan untuk beberapa kali dan melakukan pelbagai proses.
“Jadi, semua ubat sama ada untuk menyembuhkan penyakit, meningkatkan
tenaga batin dan sebagainya boleh dikatakan terjamin penyembuhannya.
Malah untuk merasakan kehebatan malam anda, terdapat beberapa senaman
dan urutan untuk meneguhkan tenaga batin serta memantapkannya,” katanya.
Lebih tertarik tingkat tenaga batin
Sementara itu, seorang lagi penjual yang ingin dikenali sebagai Zailan,
34, lebih gemar menjual produk berasaskan alam semula jadi untuk
membantu mereka yang memerlukan peningkatan tenaga batin.
“Saya
lebih berminat menjual madu lebah kelulut berasaskan produk pemakanan
daripada sumber alam semula jadi. Antara keunikan dan kebaikan khasiat
dimilikinya adalah meningkatkan tenaga batin dan sangat sesuai buat
sesiapa yang semakin hilang tenaga kelakian mereka.
“Malah, ia
boleh menyembuhkan penyakit lain antaranya kencing manis, strok, hati,
darah tinggi dan batu karang. Namun pelanggan lebih tertarik untuk
membeli produk ini bagi meningkatkan tenaga batin,” katanya.
Zailan berkata, kira-kira 50 peratus pelanggan membeli produk itu disebabkan mereka mempunyai masalah tenaga batin.
“Kebanyakan warga emas lebih suka menggunakan kaedah pemakanan menggunakan khasiat alam semula jadi.
“Bagi golongan muda, mereka mungkin lebih gemar mendapatkan pil
memandangkan ia lebih komersial untuk meningkatkan tenaga batin. Namun
setakat ini, maklum balas daripada pengguna amat memuaskan,” katanya.
Tempoh seronok hanya sementara
Sementara itu, Sinar Harian sempat menemu bual seorang pengamal ubatan
yang mengeluh mengenai penggunaan ubat yang boleh memberi kesan
sampingan.
Katanya, dia tidak bersetuju dengan penjualan ubat kuat memandangkan terdapat kesan sampingan apabila umur semakin meningkat.
"Penggunaan tidak stabil dan sukatan tidak tepat boleh memberikan kesan
buruk kepada pengguna. Ini kerana ada sesetengah pengguna yang terdesak
lalu mengambil ubat kuat secara berlebihan untuk tampil hebat bersama
pasangan.
“Mengikut pengalaman saya, keadaan jantung kadangkala
tidak stabil pada waktu pemakanan khususnya boleh menyebabkan
kematian,” katanya.
Menurutnya, selepas pengambilan ubat itu,
tenaga kelakian yang asalnya masih cergas akan menjadi lesu hingga
memaksa dirinya mengambil ubatan secara berterusan setiap kali ingin
melakukan hubungan seks walaupun sudah tahu akan berdepan risiko.
Bagaimanapun, dia mengakui ubat itu bolah menguatkan seks, tetapi bukan
untuk tempoh lama, tambahan pula mereka akan kembali lemah di samping
berdepan pelbagai penyakit.
“Melalui berita di media, ramai tahu keburukannya. Tetapi tidak diendahkan disebabkan perasaan ingin mencuba.
“Ubat kuat hanyalah untuk sementara berikutan ia akan membuatkan anda
bertambah merana. Sekiranya ada berminat, mereka boleh menggunakan
produk berasaskan sumber semula jadi,” katanya.
- Sinar Harian